Sebanyak 98 kawasan Parlimen akan mengalami perubahan, sama ada dari segi sempadan atau nama, berdasarkan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Daripada jumlah tersebut, 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara bakal mengalami perubahan nama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan telah mengkaji dengan teliti syor-syor dalam laporan kajian semula tersebut dan tidak mencadangkan apa-apa perubahan dibuat.

"Ini kerana kajian semula persempadanan ini telah dilaksanakan sepenuhnya berlandaskan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika membentangkan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat hari ini.

Sejurus selesai pembentangan, usul disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum sesi perbahasan bermula, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memperuntukkan lima wakil daripada blok pembangkang dan enam dari Barisan Nasional, untuk mengambil bahagian .

Walaupun ketetapan tersebut diprotes ahli Parlimen pembangkang, Pandikar tetap meneruskan sesi perbahasan dengan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) sebagai pembahas pertama.

Perubahan yang disyorkan dalam kajian semula itu merangkumi Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan keluasan kira-kira 132,000 kilometer persegi.

Najib berkata, berdasarkan kajian SPR, pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang sama rata bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN sukar dilaksana kerana kewujudan kawasan-kawasan luar bandar yang keadaan topografi serta demografinya berbeza antara satu sama lain.

Katanya, ini secara tidak langsung, telah mewujudkan kekangan-kekangan dari segi jalan perhubungan dan pengangkutan.

“Hal demikian menyebabkan penumpuan penduduk di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi, berbanding penduduk di kawasan luar bandar.

"Sungguhpun demikian, saya difahamkan, SPR sedaya upaya berusaha untuk meringankan beban wakil-wakil rakyat, khususnya di kawasan-kawasan dengan kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang terhad,” katanya.

Najib berkata, beliau dimaklumkan terdapat syor-syor yang dicadangkan SPR tidak dipersetujui oleh beberapa pihak, termasuk pihak kerajaan sendiri.

Beliau turut menegaskan, kerajaan tidak mengganggu mahupun mempengaruhi SPR dalam melaksanakan tugasnya, malah sentiasa menghormati keputusan suruhanjaya itu untuk kebaikan semua, demi kepentingan rakyat dan negara.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata urusan kajian semula persempadanan itu dibuat SPR memandangkan lat tempoh lapan tahun telah berlalu, selaras dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

Kali terakhir urusan persempadanan semula dilakukan adalah pada 2003, yang mana bahagian-bahagian pilihan raya yang diluluskan pada masa itu telah digunakan dalam tiga pilihan raya umum iaitu pada 2004, 2008 dan 2013.