Tutup

Kajian tambah baik Akta 709 elak salah guna data peribadi - Gobind

Kajian tambah baik Akta 709 elak salah guna data peribadi - Gobind
GOBIND: JPDP akan membuat kajian untuk menambah baik Akta 709 dengan mengambil kira perkembangan ekonomi digital dan kepentingan e-dagang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan membuat kajian untuk menambah baik Akta 709 dengan mengambil kira perkembangan ekonomi digital dan kepentingan e-dagang selaras perkembangan semasa dengan amalan terbaik antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata JPDP di bawah kementeriannya bertugas mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam urus niaga komersial oleh pengguna data untuk mengelak daripada disalah guna atau disalah pakai oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
“Akta 709 yang berkuat kuasa mulai 15 November 2013 telah mewajibkan pendaftaran Pengguna Data yang tergolong di bawah 13 golongan pengguna data sebagai salah satu mekanisme pematuhan di dalam pelaksanaannya.

“Selain itu, JPDP juga telah mengeluarkan Standard Perlindungan Data Peribadi (PDP) yang menetapkan kehendak minimum yang perlu dipatuhi oleh pengguna data iaitu Standard Keselamatan, Standard Peyimpanan dan Standard Integriti Data,” katanya.
Gobind berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyatakan langkah yang telah diambil kementerian bagi menangani insiden kebocoran data peribadi yang dilaporkan berlaku dan sejauh mana keberkesanan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dalam menangani masalah ini.

Selain itu, kata Gobind, kementeriannya juga telah memperkuatkan Arahan 24 Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mewajibkan semua agensi-agensi kerajaan dan organisasi yang dikenal pasti sebagai Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional.

“Ia termasuk syarikat telco untuk mematuhi Standard ISO 27001: Information Security Management System yang menekankan Confidentiality, Intergrity dan Availability (CIA) terhadap sistem maklumat.

“Ini bagi memastikan semua agensi dan organisasi kritikal negara mencapai tahap keselamatan yang tertinggi bagi melindungi data mereka daripada dicerobohi,” jelasnya.

Tambahnya, Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga turut menekankan aspek keselamatan data supaya penyedia perkhidmatan dapat mengambil langkah-langkah yang ketat untuk memastikan perlindungan data peribadi pengguna berada di tahap yang tinggi.

Kata Gobind lagi, JPDP juga telah membangunkan lima Tata Amalan mengikut golongan Pengguna Data iaitu Utiliti (Elektrik), Perbankan dan Institusi Kewangan, Insurans, Pengangkutan dan Telekomunikasi.

Ia bagi memastikan pematuhan terhadap tujuh PDP yang menyeluruh dan mengikut kesesuaian operasi dan
amalan terbaik perniagaan pengguna data mengikut sektor.