Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun melalui detik hitam selama dua tahun apabila diliwat dan dirogol oleh abang iparnya sendiri.

Tidak cukup dengan itu, suspek juga pernah memukul mangsa dengan menggunakan tali pinggang sekiranya nafsunya tidak dilayan.

Malah, suspek juga pernah merakamkan hubungan seks dengan mangsa menggunakan telefon dan mengugut untuk tidak melaporkan kepada polis atau menunjukkan video itu kepada suami mangsa sekiranya mangsa berkahwin nanti.

Lebih malang lagi, apabila perbuatan terkutuk suspek itu turut dibela oleh kakak kandungnya sendiri yang bertindak memarahi mangsa sekiranya tidak menurut nafsu suaminya itu.

Kejadian yang berlaku berulang kali sejak mangsa berumur 16 tahun itu menyebabkan mangsa kini mengandung lapan minggu selepas hasil pemeriksaan doktor.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mangsa bagaimanapun melaporkan perkara itu kepada pihaknya pada Jumaat lepas, pada 9.30 malam.

"Mangsa mendakwa pada hari sama, jam 2 pagi semasa berada di rumah abang iparnya (suspek) telah menggunakan tali pinggang untuk memukul mangsa di bahagian belakang kerana enggan melayani kehendak suspek untuk melakukan hubungan seks.

"Kali terakhir mangsa dipaksa melakukan hubungan seks adalah pada Selasa lepas sebanyak dua kali dan mangsa turut diliwat oleh suspek.

"Mangsa yang tinggal bersama kakak kandungnya dipaksa melakukan hubungan seks dengan suspek sejak dari umur 16 tahun (tanpa kerelaan mangsa). Sekiranya mangsa tidak melayan kehendak suspek, kakak mangsa (isteri suspek) turut memarahi mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Dzaffir berkata, hasil siasatan lanjut oleh pihak polis telah membawa kepada tangkapan kepada seorang lelaki yang merupakan abang ipar mangsa.

"Suspek direman selama tujuh hari dan siasatan masih dijalankan, kes disiasat mengikut Seksyen 376, 377D dan 324 Kanun Keseksaan," jelas beliau.