Dalam keadaan tulang kaki kanannya hancur akibat kemalangan, seorang pengundi lelaki enggan menjadikan itu sebagai alasan untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.

Mohd Khairul Ilyasa Zainal, 31 tahun, hadir ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Rantau untuk membuang undi dalam keadaan kakinya berbalut dengan menaiki kerusi roda.

“Saya kemalangan pada bulan lalu selepas dilanggar ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Saya ditahan di wad hampir sebulan sejak 18 Mac lalu hingga 10 April.

“Pada mulanya saya fikir tidak dapat hendak mengundi, tetapi saya dibenarkan keluar dari hospital dan dapat lah saya tunaikan tanggungjawab ini.

“Isteri saya pula sedang sarat mengandung, jadi sukar sedikit untuk kami berdua. Namun tapi disebabkan semangat nak mengundi, kami datang juga,” jelasnya.

Mohd Khairul berkata demikian ketika ditemui media sebaik tiba di SJKT Rantau bersama isteri pada Sabtu.

Katanya, proses mengundi tidak sesukar yang disangka, hanya masuk dan terus membuang undi.

“Saya tidak kisah siapa yang menang, janji mereka dapat tunaikan tanggungjawab dengan baik,” jelasnya.