Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengesahkan seorang pekerjanya positif wabak koronavirus baharu COVID-19.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata pekerja berkenaan masih menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Justeru, Khazanah sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan pengurusan premis pejabatnya untuk mengambil langkah sewajarnya demi memastikan kesihatan dan keselamatan kakitangan terjamin.

Ia termasuk membantu pihak berkuasa kesihatan mengenal pasti individu yang sudah berhubung dengan kakitangan berkenaan.


Kenyataan media oleh Khazanah.


Katanya, Khazanah turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku ketika langkah pencegahan dilaksanakan.

Khazanah akan terus beroperasi dengan gangguan yang minimum.

Sementara itu, difahamkan pekerja Khazanah yang positif jangkitan COVID-19 antara empat kes baharu yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam, menjadikan 29 kes dilaporkan setakat ini.

Pekerja Khazanah itu dipercayai kes ke-26 yang dikatakan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China sekitar pertengahan Januari lalu.