Seorang petugas lapangan terbang cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di landasan dengan pesawat persendirian awal pagi tadi.

Ketika kejadian pada jam 3.20 pagi itu, pemandu kenderaan kejuruteraan tersebut sedang bertugas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang.

Penumpang dan kru pesawat berada dalam keadaan selamat dan tidak cedera dalam insiden pada 3.20 pagi itu.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata kakitangan itu telah menjalani pembedahan dan akan menerima penjagaan perubatan terbaik.

"Insiden itu mula sekali telah dilaporkan kepada pasukan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang yang tiba di tempat kejadian pada 3.21 pagi," kata kenyataan itu.

Insiden itu menyebabkan ketibaan beberapa penerbangan terjejas disebabkan kerja-kerja membersihkan serpihan di lapangan terbang akibat kemalangan tersebut.

Bagaimanapun, operasi penerbangan kembali pulih bermula dari 9 pagi, kata Malaysia Airports.

Kenyataan itu berkata Malaysia Airports telah menubuhkan pasukan penyiasat dan sedang bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi menyiasat punca kemalangan.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan telah mengaktifkan "Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu," kata kenyataan itu.