Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan bahawa terdapat satu kes positif COVID-19 melibatkan seorang kakitangan di kementerian beliau.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Hishammuddin menyatakan kes tersebut dikenal pasti selepas mangsa melalui satu saringan kesihatan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Wisma Putra, semalam.

"Sebelum menjalani saringan ini, beliau tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom COVID-19 seperti demam, selsema, batuk atau sakit tekak.

"Beliau kini telah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," jelas kenyataan tersebut.

Menurut Wisma Putra, kesemua kakitangan yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan mangsa juga telah diarahkan untuk menjalani saringan kesihatan dan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari bermula hari ini.

Dalam pada itu, susulan pengesanan kes ini, kerja-kerja nyahkuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dilakukan serta-merta.

Ini merupakan kes pertama COVID-19 yang dilaporkan di kementerian tersebut.