Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis harus dijadikan iktibar dan menjadi mesej jelas kepada semua wakil rakyat bahawa mereka perlu melakukan sesuatu untuk memenangi hati rakyat.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, walaupun menerima kekalahan itu namun semua wakil rakyat PH perlu berusaha lebih gigih untuk memenuhi kehendak rakyat termasuk menunaikan janji yang dibuat sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa ekspektasi rakyat terhadap kerajaan semakin tinggi dan mahu kerajaan menunjukkan hasil kerja kepada mereka.

BACA: Kimanis kekal di tangan BN, peroleh majoriti lebih besar

"Saya selalu tegaskan bahawa ekspektasi rakyat itu tinggi dan seperti yang kita lihat keputusan daripada beberapa pilihan raya kecil rakyat mahu kita tunjuk hasil kerja kita.

"Itu sebab saya selalu tegaskan kita mesti lebih dengar suara rakyat, kerja lebih kuat untuk rakyat dan berikan harapan kepada rakyat. Maka yang penting ialah mesti kerja lebih kuat," kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan selepas melancarkan Op Selamat 16 Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) sempena sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang, pada Ahad.



Turut hadir, Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor.

Mengulas lanjut, Guan Eng menegaskan bahawa kekalahan calon PH di PRK Kimanis bukanlah petunjuk bahawa rakyat mula menolak PH sebaliknya mahu harapan mereka ditunaikan kerajaan.

Sebagai contoh ujarnya, PH menang dengan majoriti lebih besar ketika PRK Sandakan sebelum tewas di Kimanis yang juga kubu Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, Guan Eng turut menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.



Dalam PRK Kimanis, calon BN Datuk Mohamad Alamin memperoleh 12,706 undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mewakili PH, Datuk Karim Bujang dengan majoriti undi 2,029.
PRK diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman pada Pilihanraya Umum 2018 ekoran kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mematuhi prosedur pilihan raya.