Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bantuan RM100 yang diberikan kepada golongan mahasiswa merupakan satu jumlah kecil, tetapi dalam masa yang sama meminta golongan itu memahami situasi yang dilalui kerajaan ketika ini.

Tegas Anwar, bukan sengaja mahu membangkitkan kegagalan kerajaan sebelum ini, tetapi situasi sukar yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini adalah satu perwarisan yang perlu dipikul dan diselesaikan.

"Saya cakap kepada YB Lim Guan Eng, malah dengan Tun Mahathir pun saya cakap perkara sama. Kalau dilantik jadi Menteri Kewangan sekarang, saya tak mahu.

"Zaman saya jadi Menteri Kewangan dahulu, pertumbuhan ekonomi ialah 10 peratus setahun, sekarang cuma 4.5 peratus.

"Sekarang kita warisi satu keadaan di mana Tabung Haji ada lebihan kerana adanya suntikan, Felda ada simpanan lebih sekarang pun perlu suntikan.

"Kerana itu saya, mahu anda semua faham, kita sekarang hidup dalam zaman ekonomi yang sangat mencabar," kata Anwar ketika sesi soal jawab selepas selesai ucapan penggulungan pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pada Isnin.

Anwar bagaimanapun memaklumkan, beliau dan semua pemimpin kerajaan maklum akan permasalahan yang dihadapi golongan mahasiswa dan akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.

"Saya akui terkesan apabila dengar ada mahasiswa yang sampai tak makan kerana tak cukup duit.

"Saya pasti kerajaan pasti akan beri pertimbangan yang sewajarnya, sekurang-kurangnya membantu dari segi meringankan beban masalah keperluan asas mahasiswa," ujarnya.