Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan wang tunai RM250,000 yang hilang dari kediamannya adalah milik beliau serta ibu bapanya untuk digunakan bagi tujuan mengubah suai rumah baharu mereka.

Dalam kenyataan media hari ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sekiranya benar dakwaan wang berkenaan diperoleh dari sumber haram, maka beliau tidak akan berani membuat laporan polis sejak awal.

“Wang tersebut merupakan wang peribadi milik saya serta ibu bapa. Mereka juga telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang tersebut. (Sebanyak) RM90,000 milik saya, RM50,000 milik ibu saya dan RM70,000 milik ayah saya.

“Majoriti wang itu dikeluarkan bagi tujuan renovasi (pengubahsuaian) rumah yang kami miliki bersama. Selainnya adalah untuk tujuan peribadi,” katanya lagi.

BACA: "RM250,000 yang hilang bukan duit parti Bersatu" - Syed Saddiq

BACA: SPRM siasat aduan pemilikan meragukan wang tunai bekas menteri

Syed Saddiq berkata, beliau dan ibu bapanya berhasrat untuk berpindah ke rumah baharu itu selepas ia selesai diubahsuai.

Media sebelum ini melaporkan, wang tunai kira-kira RM250,000 yang disimpan dalam peti besi di kediaman Syed Saddiq di Petaling Jaya disedari hilang pada jam 7 malam Sabtu.

Sebelum ini sebuah media dikatakan tersalah membuat laporan bahawa wang itu milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), namun mereka sudah membuat permohonan maaf mengenainya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq, yang juga Ketua Pemuda Armada Bersatu berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya membuat laporan polis selain tindakan sewajarnya terhadap pihak yang memfitnahnya dan keluarga.

Antara fitnah dimaksudkan adalah dakwaan mengatakan beliau mengambil duit parti, selain dikaitkan dengan seorang wanita yang dikatakan bersamanya.

“Saya juga tidak akan berkompromi bab integriti dan akan memastikan diri dan keluarga saya memberi kerjasama penuh dalam membantu pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Saya harap semua pihak berhenti membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan,” katanya lagi.