Kalau kawan buang puntung rokok pun saya pergi kutip - Syed Saddiq

Kalau kawan buang puntung rokok pun saya pergi kutip - Syed Saddiq
Syed Saddiq membawa plastik hitam besar mengutip sampah yang ditinggalkan penyokong bola sepak di tempat duduk Stadium Bukit Jalil. Foto: Instagram
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam mengejutkan orang ramai apabila secara bersahaja mengutip sampah di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebaik tamat perlawanan akhir Piala FA.

Menerusi entri di Twitter, Syed Saddiq menjelaskan tindakan yang dilakukan itu adalah untuk membersihkan kawasan duduk stadium yang telah digunakan dan mengajak orang ramai melakukan perkara sama.

"Saya pantang kalau nampak orang buang sampah merata-rata.
"Bagi mereka yang mengenali saya, ini bukan one-off. Kalau kawan buang puntung rokok pun saya pergi kutip. Biar dia malu dan tak akan buat lagi.

"Instead of the negativity, why don’t we all start doing the same," tulisnya.
 
Hari ini tular di media sosial, apabila Syed Saddiq membawa plastik hitam besar mengutip sampah yang ditinggalkan penyokong di tempat duduk seperti bekas minuman dan tisu.

Tindakan yang dilakukan oleh Syed Saddiq ternyata mendapat pujian ramai dan mereka kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau.

Pada perlawanan tersebut, Pahang merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga setelah menewaskan juara lima kali, Selangor, 2-0.

Dua gol pasukan Tok Gajah menerusi aksi pemain Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-23, dan dihadiahkan penalti pada minit ke-61 selepas pertahanan Selangor, Alfonso De La Cruz menjatuhkan Agustine Iwuji sebelum Patrick Cruz tenang menyempurnakannya.