Kali ketiga beri keterangan, Riza Aziz lewat ke SPRM

Kenderaan yang dinaiki Riza Aziz tiba di perkarangan SPRM di Putrajaya hari ini. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, hadir buat kali ketiga di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau yang dilaporkan sepatutnya hadir 10.30 pagi bagi memberi keterangan, hanya tiba di sini 40 minit kemudian.
Bagaimanapun, media dimaklumkan tidak dibenarkan berada dalam perkarangan SPRM kerana berlangsungnya Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri suruhanjaya itu.
Riza yang hadir menaiki kereta jenis Audi dilaporkan memberi keterangan berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perfileman yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat, enggan memberi sebarang komen kepada pihak media.
Kelmarin, SPRM mengambil keterangan Riza berhubung perkara yang sama lebih sembilan jam sebelum meninggalkan bangunan suruhanjaya itu kira-kira 10.30 malam.
Semalam, Riza enggan memberi sebarang ulasan kepada media selepas hampir sembilan jam direkod keterangan.
Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan anak tiri Najib itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung skandal yang melibatkan dakwaan penggunaan ratusan juta wang 1MDB untuk menghasilkan filem Hollywood.
Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut mengesahkan bahawa Riza hanya diambil keterangan dan tiada keperluan untuk menahan beliau setakat ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

