JPN Pulau Pinang diminta menyegerakan proses pertukaran Ustazah Nur Farhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu sebelum ditemui dalam keadaan selamat di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar, petang Khamis lalu.

Menurut Exco Pendidikan Negeri Kedah, Dr Salmee Said, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah kini hanya menanti kata putus daripada JPN Pulau Pinang untuk menempatkan Nur Farhana.

"Kes yang ustazah itu, sebenarnya dia terikat dengan JPN Pulau Pinang. Biar dia selesai dulu dengan JPN Pulau Pinang tentang pertukaran ke Kedah, kita harap dia dapat ditukarkan di Kedah.

"Kalau JPN Pulau Pinang boleh lepaskan dia masuk Kedah, kita akan bantu letak dia di mana mana sekolah yang bersesuaian," kata Salmee.

Tambah Salmee, permohonan bertukaran guru yang berstatus duka lara untuk kembali berkhidmat di negeri Kedah memang banyak, namun ia perlu diperhalusi terutama daripada segi kekosongan guru, kesesuaian mata pelajaran serta jarak ke sekolah yang dipohon.

Beliau berkata demikian ketika hadir di program Job Fair peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti di Dewan Kilat TNB Alor Setar, pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar serta ADUN Suka Menanti, Zamri Yusuf.

Ustazah Nur Farhana Ibrahim yang hilang sejak Isnin lalu ditemui selamat selepas hadir sendiri ke Balai Polis IPD Kuala Kangsar pada petang Khamis.

Kehilangan guru agama itu sebelum ini menimbulkan tanda tanya selepas beberapa barangan milik peribadinya seperti beg tangan dan kunci keretanya ditinggalkan di atas meja di Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Kehilangannya dipercayai akibat kemurungan kerana terpaksa berulang alik sejauh 200 kilometer setiap hari ke tempat kerja.