Rata-rata penduduk di Sungai Lui akur akan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 tengah malam Isnin.

Selain melihat ia satu langkah yang baik demi kesihatan penduduk setempat, mereka juga mahu rantaian wabak COVID-19 diputuskan dengan segera.

Bagi Farizuan Abdul Hamid, 25, tidak wujud suasana panik di kawasan Batu 23 Sungai Lui di mana dia berada ketika ini.

“Kami dalam pukul 4 petang lebih tadi diberitahu berkenaan PKPD. Kalau tengok, nampak sikit ada kekurangan dari segi pergerakan orang kampung.

“Kalau tidak, ada kenderaan lalu. Sekarang tak ada. Panik tu tak ada sbb PKP dah bermula lebih awal. Persekitaran kampung ini, tak ada panik masih terkawal lagi,” katannya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dia yang bertugas sebagai pegawai bank berkata, hebahan dan penerangan yang dibuat sekitar jam 4.30 petang tadi menyebabkan para penduduk lebih faham akan situasi di kawasan berkenaan.

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dikuat kuasa di Batu 21 - Batu 24 Sungai Lui

Dalam pada itu, pengusaha gerai makan, Mohamad Zamri Abdul Hamid, 52, berkata sejak bermula PKP pada 18 Mac lalu, dia membuat keputusan untuk menutup gerainya.

Ujarnya, walaupun ramai dalam kalangan pelajar tahfiz di kawasan berkenaan menjadi pelanggannya, namun tahap kesihatan penduduk setempat menjadi perkara utama baginya.

“Bemula sejak 18 Mac lalu saya tak buka. Saya ikut arahan pemerintah walaupun pelanggan masih boleh bungkus. Saya tak nak buka. Saya takut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambahnya, dalam kalangan penduduk setempat juga tidak mengetahui sekiranya ada penduduk kampung berdekatan turut disahkan positif COVID-19.

“Pada kami, benda tu kami tak tahu pun sebab budak-budak tahfiz datang solat dekat surau kita, malah sebelum (pelaksanaan PKP) tu, ada yang makan dekat sini. Tak ada masalah.

“Penduduk kampung yang dijangkiti tak ada, majoritinya budak tahfiz Batu 24.

“Batu 23 ini tak ada apa-apa masalah rasanya,” katanya.