"Kami boleh keluar beli makanan, tetapi tak boleh pergi jauh"

Perkara itu didedahkan pelajar Malaysia di Korea National University of Arts, Seoul, Korea Selatan ketika negara itu mengenakan Perintah Berkurung Separa (Partial Lockdown) ke atas semua penduduknya.

Menceritakan keadaan itu, Safiyah Muhsin Kilby, 28, berkata, dia tinggal seorang diri di Seoul dan tidak dibenarkan ke kampus atau melakukan aktiviti luar lain selain hanya boleh keluar mencari makanan.

Namun, ketika ini, dia berasa lebih selamat berbanding pada awal penularan COVID-19 di Korea Selatan.

"Sekarang ini, semester sekarang ini kena hadir kelas secara dalam talian. Tiada kuliah secara bersemuka. Tidak boleh pergi kampus. Pada kebanyakan masa kita kena duduk rumah.

"Pihak berkuasa benarkan kita keluar beli makan, namun kita tak boleh keluar jauh dari rumah dan kita tak boleh pergi kampus, gym, atau seperti itu. Namun kita tak rasa takut pun," katanya kepada Astro AWANI.

Sehingga hari ini, Korea Selatan merekodkan kes positif COVID-19 melebihi 10,000 kes dengan 177 kes kematian.