Peniaga dan pemilik premis kompleks beli-belah Ampang Park memaklumkan bahawa mereka langsung tidak diberitahu tentang butiran pelaksanaan projek pembangunan stesen serta laluan Transit Aliran Massa (MRT) di kawasan kompleks itu.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Peniaga Satu Malaysia Ampang Park, Wan Kamal Izzuddin Wan Kassim, proses rundingannya juga langsung tidak melibatkan sesiapa pun daripada pihak peniaga serta pemilik premis.

"Kami langsung tidak dimaklumkan, apatah lagi dipanggil bersama untuk berunding sebelum persetujuan terhadap pelaksanaan projek itu dibuat.

"Siapa yang beri kebenaran untuk mewakili kami (peniaga dan pemilik premis)? Tanpa sebarang persetujuan, perjanjian sudah pun dibuat.

"Kami semua tidak tahu apa-apa, sehinggalah diberi notis daripada pihak pengurusan iaitu Ampang Park Management Corporation mengarahkan kami supaya bersedia untuk keluar dari permis masing-masing sebelum April. Ini memang kejam," jelasnya dalam satu sidang media 'Selamatkan Ampang Park' anjuran persatuannya di kompleks itu.


Butiran perjanjian di antara 'pihak Ampang Point' dengan MRT Corporation termasuk nilai pampasan yang bakal diberikan juga tidak berada dalam pengetahuan mereka.

Beliau tidak menolak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membuat persetujuan tanpa mendapat suara daripada para peniaga dan pemilik premis sebagai satu cubaan untuk mengaut keuntungan berganda, memandangkan lokasi strategik Ampang Park.

Difahamkan, hanya 14,000 kaki persegi daripada keseluruhan 340,000 kaki persegi sahaja terlibat dalam pembinaan stesen itu yang termasuk dalam rancangan jajaran kedua Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

Bagaimanapun, motif pengambilan keseluruhan tapak Ampang Park menjadi persoalan besar.

"Mereka (MRT) maklumkan Ampang Park perlu dirobohkan dan tapaknya akan dijadikan tempat meletak mesin-mesin pembinaan.

"Sedangkan di bahagian belakang kompleks ini ada kawasan lapang yang saya kira cukup luas untuk menempatkan semua mesin yang diperlukan.

"Jadi kenapa perlu robohkan Ampang Park?", tegas Wan Kamal.

Tambahnya, beliau sudah berjumpa pihak pemaju selepas mengetahui tentang perkara ini.

"Mereka kata, kalau tidak mahu diruntuhkan, semua peniaga mesti kosongkan Ampang Park dalam masa tujuh tahun sehingga projek selesai atas faktor keselamatan.

"Kalau begitu, mengapa operasi stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Ampang Park tidak dihentikan sekali? Sudah tentu pembinaannya akan memberi kesan terhadap stesen bawah tanah serta laluannya," soalnya.

Naib Presiden Persatuan dan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhammad Baba Kutty memberitahu, mereka akan memohon campur tangan pihak berkuasa termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan bagi menyelesaikan kes ini.

"Kami akan hantar surat kepada Kementerian Wilayah Persekutuan supaya mereka dapat bawa bersama pihak MRT dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertemu dengan kami untuk beri penjelasan sebenarnya.

"Siapa yang mewakili kami, siapa yang meluluskan permohonan, apa yang kami peroleh dan apa nasib kami selepas ini.

"Apa yang kami mahu hanyalah ketelusan dalam perkara ini supaya setiap pihak berpuas hati. Kami mahu keadilan," jelasnya.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli belah pertama di Malaysia dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan dan kehendak selain perkhidmatan untuk warga kota.

Ia dibangunkan oleh syarikat Low Keng Huat Brothers Realty Sdn Bhd berikutan kejayaan projek pertamanya di Singapura, People's Park yang dibuka pada 1968.