Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berharap agar nasib golongan itu akan terus terbela dan diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Pengorbanan mereka menjaga keamanan sehingga membolehkan negara mengecapi keamanan dan kemakmuran seharusnya tidak dinafikan.

Sekilas pandang, terdetik rasa sayu di hati apabila melihat prajurit negara yang suatu ketika dahulu begitu gagah, namun kini hanya berkerusi roda.

Demikian nasib yang menimpa veteran ATM, Juragan Buyong, 60 tahun, yang ditimpa malang selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari sehingga mengakibatkan beliau kehilangan kaki kanannya.

Beliau yang berkhidmat di bawah Rejimen Askar Melayu DiRaja selama 13 tahun berkata, bantuan sara hidup sedikit sebanyak boleh meringankan beban hidupnya.

"Kami bukan minta dihargai atau disanjung, cuma faham kami berkhidmat tanpa mengira waktu kan masa kami berkhidmat.

"Apabila kami lepas berkhidmat ini takkan lah kami dibiarkan... kami macam kain buruk. Cuba pantau keperluan kami kalau tiada rumah dicarikan rumah, (dan) yang daif diberikan bantuan bulanan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara, anggota tentera terdahulu turut mengorbankan ’kehidupan’ mereka dalam mengecapi kemerdekaan.

Seorang lagi veteran ATM, Syed Mustafa Syed Zakaria, 65 tahun, berkata beliau mula berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja pada tahun 1973.

"Saya daripada unit askar Melayu, unit mencabar yang mana ramai rakan-rakan terkorban semasa perjuangan.

"Saya juga terima kasih kepada kerajaan sekarang kerana menghargai jasa baik Angkatan Tentera Malaysia," ujarnya.

Mereka ditemui media pada Majlis Prihatin Veteran bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa kebajikan kumpulan veteran ATM akan sentiasa dijaga.

Beliau berkata, kerajaan telah menambahbaik beberapa bantuan termasuk sara hidup, kesihatan dan pendidikan kepada anak-anak veteran ATM.

Selain itu, beliau turut mengumumkan elaun RM350 diberikan kepada suri rumah yang menjaga veteran sepenuh masa.

"Untuk mendapat bantuan klinik misalnya dulu hanya boleh di hospital kerajaan, sekarang ini kita setuju untuk kalau mereka mendapat rawatan di klinik swasta, kita akan tanggung.

"Begitu juga dengan bencana, kalau ditimpa bencana dulu kita limitkan RM5,000 sekarnag ini kita naikan kepada RM10,000," katanya.

Dianggarkan seramai 640 veteran ATM menetap di DUN Slim.