Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyifatkan penilaian masyarakat antarabangsa terhadap keputusan Malaysia untuk menggunakan minyak kelapa sawit sebagai tidak adil.

Ini kerana, hujah yang mendakwa Malaysia akan menjejaskan ekosistem alam semulajadi akibat tindakan itu, tidak boleh diguna pakai.

"Minyak kelapa sawit adalah minyak sayuran boleh dimakan yang paling murah. Ia juga mudah ditanam, tanam sekali dan hasilnya boleh dinikmati sehingga 25 tahun akan datang.

"Tetapi ada yang menganggap kita menebang pokok-pokok lain semata-mata untuk menanam pokok kelapa sawit. Malah ada juga yang mengatakan kita memusnahkan habitat haiwan liar.

"Ambil contoh Britain. Di mana Robin Hood?

"Hutan-hutan di Eropah telah dibersihkan sehingga sukar untuk menemui haiwan liar. Tetapi di Malaysia, kami masih ada harimau dan kami akan hantar anda masuk ke dalam hutan, tengok jika anda boleh keluar dengan selamat," kata beliau secara berseloroh.


Dr Mahathir berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas berucap ketika lawatannya ke Cambridge Union Society yang menjadi lokasi pertemuan persatuan debat paling tua di dunia.

Dr Mahathir berada di London untuk lawatan kerja selama tiga hari.