Tutup

'Kami memang berhasrat untuk teruskan pencarian MH370' - Tun M

'Kami memang berhasrat untuk teruskan pencarian MH370' - Tun M
Tun Mahathir buat pertama kalinya dipertemukan dengan balu kepada salah seorang mangsa, iaitu Danica Weeks dalam satu temubual eksklusif bersama 60 Minutes Australia.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahatahir Mohamad memberi jaminan akan meneruskan pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Beliau berkata demikian ketika buat pertama kalinya dipertemukan dengan balu kepada salah seorang mangsa, iaitu Danica Weeks dalam satu temubual eksklusif bersama 60 Minutes Australia sempena tahun ke lima kehilangan pesawat itu.
Weeks, dalam perjumpaan itu memohon kepada Tun Mahathir agar Kerajaan Malaysia dapat meneruskan usaha pencarian itu, seterusnya memberi sedikit harapan kepada kesemua waris untuk mengetahui apakah nasib sebenar pesawat malang itu.

“Kami memang berhasrat untuk meneruskan pencarian ... dan dengan teknologi terkini seperti pengesanan elektronik, ia sesuatu yang tidak mustahil untuk kami mengetahui di mana lokasi sebenar pesawat itu jatuh” jawab Tun Mahathir.
BACA: LAMAN MIKRO MH370

Pengacara 60 Minutes, Sarah Abo, kemudian tidak membuang masa dan terus melontarkan soalan pertama kepada Tun Mahathir- “Jika salah seorang ahli keluarga anda di dalam pesawat tersebut, apakah yang anda akan lakukan?”

“Mohon Tuhan jauhkan perkara itu berlaku kepada saya,” balas Perdana Menteri dalam satu reaksi spontan, tetapi mendalam dari negarawan itu, sambil menyambung “Saya juga fikir, (jika ia berlaku kepada saya) saya akan sangat kecewa terutamanya jika pencarian itu dihentikan”.

Dalam pertemuan hampir 30 minit itu, Tun Mahathir turut menyatakan pandangan yang konkrit tentang pencarian pesawat MH370.

“Tidak mengetahui adakah mereka masih hidup ke tidak, Tidak mengetahui di mana mereka berada adalah sangat mengecewakan,” katanya lagi.

Tun Mahathir juga ditanya mengenai pendapatnya mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat Malaysia Airlines itu.

“Salah satu perkara yang saya dengar pada awalnya adalah pesawat itu telah dirampas, tetapi pesawat sebesar itu sama ada di dalam laut atau darat, pasti meninggalkan kesan, tapi ini tidak, ia terus lenyap.

“Saya juga tidak rasa seseorang yang telah (banyak kali) menerbangkan pesawat akan melakukan perkara itu, bagaimana dia boleh hilangkan pesawat? Tiada siapa boleh menjawab persoalan itu,” katanya lagi yang turut ditanya mengenai Kapten Zaharie Ahmad Shah.