Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes hari ini mendakwa bahawa AirAsia tidak pernah dihubungi walaupun sekali oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom semasa siasatan selama empat tahun berhubung skandal Airbus untuk sebarang penjelasan.

Dalam kenyataan hari ini, Kamarudin dan Fernandes berkata ini jelas melanggar prinsip keadilan undang-undang dan akses kepada keadilan.

"Kami menafikan semua dakwaan salah laku sebagai eksekutif dan pengarah di AirAsia," kata mereka.

BACA: Tony Fernandes, Kamarudin Meranun lepas jawatan selama 2 bulan, Bo Lingam pemangku CEO AirAsia

Semalam, Kamarudin dan Fernandes melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan itu, berkuat kuasa serta-merta, berikutan siasatan rasuah membabitkan Airbus.

Kenyataan itu menyatakan Caterham F1, syarikat yang didakwa ditaja secara salah oleh Airbus, pada ketika itu, sebuah pasukan perlumbaan Formula 1 yang menjalankan promosi di seluruh dunia, antara lain AirAsia, AIrAsia X, GE dan Airbus.


Katanya sepanjang tempoh itu Kamarudin dan Fernandes merupakan pemegang saham dalam Caterham, syarikat itu tidak mencatat keuntungan dan kemudian dijual pada GBP1 pada 2014, dari mula hingga akhir, ia untuk langkah penjenamaan dan bukan untuk meraih keuntungan.

"Oleh itu, untuk memudahkan siasatan penuh dan bebas oleh AirAsia, kami melepaskan jawatan eksekutif kami berkuat kuasa serta-merta untuk tempoh permulaan dua bulan, yang boleh dilanjutkan mengikut budi bicara Lembaga Pengarah AirAsia yang mereka anggap sesuai berdasarkan keadaan semasa.

"Atas permintaan Lembaga Pengarah AirAsia, kami bersetuju untuk terus membantu AirAsia dalam kapasiti sebagai penasihat dan apabila diperlukan," katanya.


Kamarudin dan Fernandes berkata mereka turut mengalu-alukan sebarang siasatan oleh pihak berkuasa, menyatakan itu satu-satunya cara mereka akan mendapat keadilan dan akses kepada keadilan yang dinafikan oleh proses SFO.

Pada 31 Jan, 2020, Airbus SE dan SFO memeterai Perjanjian Pendakwaan Tertunda.

Sebagai balasan kepada penggantungan pendakwaan oleh SFO, Airbus bersetuju untuk membayar sejumlah denda dan kos kepada SFO dan turut bersetuju dengan kenyataan fakta yang dilihat melibatkan eksekutif AirAsia.


-- BERNAMA