Seramai 14 orang dari dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila rumah mereka di Kampung Cabang Dua, Kuala Dipang, dekat sini, mula dinaiki air lewat malam tadi.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Kampar, mangsa, lapan dewasa dan enam kanak-kanak, ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Dipang.

Katanya, pusat pemindahan itu dibuka pada jam 10 pagi Jumaat apabila banjir yang bermula jam 10.24 malam tadi terus meningkat.

“Setakat ini paras air masih bertahan kira-kira 0.3 meter, tidak surut dan cuaca masih mendung,” katanya di sini.

Menurutnya, seramai 23 pegawai serta anggota daripada pelbagai agensi sedang memantau situasi banjir itu dari semasa ke semasa.