Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kampung Baru: Agong sudah perkenan, henti guna sentimen Melayu - Khalid Samad

Kampung Baru: Agong sudah perkenan, henti guna sentimen Melayu - Khalid Samad
Khalid berkata tiada sebarang perubahan pada tawaran harga dan ia muktamad pada RM1,000 bagi setiap satu kaki persegi.
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan menyambut baik perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan supaya Kampung Baru dibangunkan demi kepentingan orang Melayu.

Ia sekaligus memberi gambaran bahawa pembangunan Kampung Baru kini berada pada landasan yang tepat.

Justeru, Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, segelintir pihak perlu menghentikan menggunakan sentimen Melayu, kononnya pembangunan Kampung Baru adalah merugikan.

“Jadi, sekarang ini Agong sudah sokong, Sultan Selangor pun sudah menyatakan sokongan.
“Lalu yang mana (pihak) nak gunakan semangat Melayu, saya harap tuan-tuan semua semak fakta. Ini bukan merugikan Melayu, tetapi menguntungkan mereka,” katanya, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata ketika ini Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) sedang giat memberikan penerangan kepada pemilik tanah berhubung skim pilihan tawaran.
Katanya, kebanyakan pemilik tanah memberikan respon positif mengenai tawaran tersebut dan pembangunan di Kampung Baru.

Sementara ditanya mengenai harga, Khalid berkata tiada sebarang perubahan pada tawaran harga dan ia muktamad pada RM1,000 bagi setiap satu kaki persegi.

"Tidak menaikkan harga. Harga yang diberikan sememangnya sudah tinggi seperti yang disebut oleh pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

"Pihak mereka sudah meletakkan penilaian yang mana mereka meletakkan RM650 hingga RM850 tetapi saya telah mengatakan RM1,000 setiap kaki persegi dengan RM150 diberikan dalam bentuk saham," jelasnya.

Terdahulu, Seri Paduka pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati, Putrajaya memaklumkan kerajaan sedang berusaha  membangunkan semula Kampung Baru menerusi pelan pembangunan yang telah dirangka dengan teliti.

Baginda berharap pembangunan semula Kampung Baru dapat direalisasikan dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang melayu memandangkan Kampung Baru adalah simbol penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur.


Tag: Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor, kerajaan, Kampung Baharu, Hak orang Melayu, Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, PPKB



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.