Seorang kanak-kanak berusia enam tahun dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), selepas dipercayai dijangkiti virus Japanese Encephalitis, JE.

Lapor Berita Harian Online, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah, memaklumkan kanak-kanak lelaki dari Kuala Pilah itu pada mulanya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah pada 18 Mei lalu, sebelum dipindahkan ke HTJ dua hari kemudian.

Mangsa perlu dirujuk ke HTJ kerana keadaannya yang bertambah kritikal walaupun dakwaan sebelum itu mendedahkan dia menghidapi virus Nipah.

"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut dan hasil ujian darah tidak menunjukkan dia menghidap virus itu (virus Nipah). Cuma kini, kita masih menjalankan pemeriksaan terperinci kemungkinan dia dijangkiti virus JE dan keputusan dijangka diperoleh minggu hadapan," katanya kepada Berita Harian Online.

Ia adalah kes ketiga di Negeri Sembilan pada tahun ini, selepas satu kes di Jelebu dan Kuala Pilah, dan tiada kes yang kematian dilaporkan.