Seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun maut digilis dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Sungai Buaya, Batu 3, Jalan Apas Tawau yang melibatkan sebuah van penumpang pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, saksi yang merupakan pemandu van yang terlibat memaklumkan, kejadian berlaku apabila mangsa, Amir Ramli menyeberang jalan dari arah kanan bahu jalan menuju ke kiri bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas dalam kenyataannya berkata, sebaik mangsa tersebut cuba menyeberang jalan, mangsa terlanggar bahagian hadapan kanan van lalu terjatuh dan digilis bahagian tayar kanan belakang van tersebut.

"Akibat kecederaan parah di bahagian kepala, mangsa tersebut maut di tempat kejadian, manakala pemandu van, seorang lelaki berumur 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Van tersebut yang membawa penumpang dari Semporna sebelum itu dalam perjalanan ke Bandar Tawau.

"Jenazah kanak-kanak malang tersebut dihantar ke Hospital Tawau bagi tujuan bedah siasat dan pemandu van kini ditahan untuk siasatan lanjut. " ujar Peter.

Mengulas lanjut, Peter berkata kes ini disiasat di bawah sSksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.