Hasrat lima sekawan untuk memancing bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kuala Lanjut, Alor Setar.

Menurut rakan mangsa, Haziq Haikal Izwan, 8, mereka ke lokasi kejadian pada kira-kira jam 1.20 petang.

Bagaimanapun mangsa Mohd Irfan Jamaludin, 9, tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ketika cuba menyeberangi jabatan kecil di sungai terbabit.

Menurut Haziq Haikal, mangsa telah mengajak rakannya yang lain iaitu Mohd Hadi Imran Saari, 8; Mohd Syazwan Ahmad Supri, 11; dan Mohd Aizat Aiman Mat Jamin, 10, untuk memancing di kawasan tersebut.

Sebaik mangsa terjatuh, keempat-empat rakan yang lain cuba menyelamatkan mangsa dengan melempar tali tangsi dan buluh joran, namun gagal kerana mangsa dilaporkan telah hanyut dibawa arus.

Gagal membantu, Mohd Hadi kemudian berlari ke rumah mangsa dan memaklumkan kepada ibu Mohd Irfan bahawa anaknya terjatuh ke dalam sungai.

Difahamkan kelima-lima rakan itu telah melakukan aktiviti memancing sejak mula cuti sekolah seminggu yang lalu.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasaha Kanan Bomba Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zain, memaklumkan pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada jam 1.30 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, memulakan selaman dan menemui mangsa di dasar sungai kira-kira jam 5.08 petang.

"Alhamdulillah, operasi pada petang ini berjaya menemui mangsa dalam masa yang amat singkat.

"Mangsa ditemui pada kedalamam 15 kaki oleh pasukan PPDA Kedah," katanya.

Kata beliau lagi, operasi turut membabitkan anggota polis dan turut dibantu penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau turut meminta ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka sepanjang musim cuti sekolah ini terutama ke tempat-tempat berbahaya seperti sungai dan pantai.