Kanak-kanak perempuan yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki di sebuah apartmen, dekat Telipok, petang tadi, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut laporan Bernama, Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas Dr Tan Bee Hwai memaklumkan bahawa kanak-kanak perempuan berkenaan kini sedang menjalani rawatan pakar.

"Kanak-kanak tersebut dalam keadaan stabil dan sedang dalam rawatan pakar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki ditembak mati selepas mengurung dan mencederakan seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam kejadian di tingkat empat sebuah pangsapuri di Telipok Ria dekat sini petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari dan berakhir jam 5.32 petang itu, suspek lelaki berusia 30-an itu meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak polis.

BACA: Polis gagalkan insiden kanak-kanak dijadikan tebusan di Tuaran

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata siasatan awal mendapati suspek yang bersenjatakan pisau itu dikatakan melarikan mangsa lalu mengurungnya di sebuah rumah sebelum disedari penduduk lain.