Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terperangkap kira-kira 30 minit di dalam sebuah kereta selepas kenderaan itu terkunci sendiri ketika ibunya keluar ke rumah jiran di Jalan Bali 2/5, Bandar Baru Uda (BBU), di sini, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, PBK I Ahmad Nazran Omar berkata kejadian berlaku kira-kira 6 petang semasa mangsa ditinggalkan berseorangan di dalam kereta berkenaan dalam keadaan enjin dihidupkan kerana sedang tidur.

Bagaimanapun, sebaik ibunya kembali ke kereta berkenaan setelah menemui jiran, dia mendapati pintu kereta sudah terkunci secara automatik.

"Orang awam cuba membantu dengan mengetuk cermin kereta bagi menyedarkan mangsa namun tidak berjaya, menyebabkan ibunya terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Ahmad Nazran berkata bomba yang menerima panggilan kecemasan pada 6.21 petang menghantar masing-masing satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bersama dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan 11 keanggotaan ke lokasi untuk kerja menyelamat.

"Mangsa selamat kerana bomba hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk membuka kenderaan menggunakan peralatan khas," katanya.

-- BERNAMA