Seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia dengan kesan luka di seluruh badan selepas dipercayai didera oleh bapa tirinya dalam kejadian di Kampung Padang Rumbia, di sini, pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan, berkata, mangsa Muhammad Hafiz Abdullah disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia pukul 4 petang semalam.

Menurut beliau, bapa tiri berusia 54 tahun dan ibu kandung mangsa berusia 25 tahun dikatakan menghantar Muhammad Hafiz ke klinik berkenaan pada hari kejadian.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan awal oleh doktor mendapati terdapat kesan cedera disyaki akibat penderaan, iaitu kesan lebam baru di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baru di bahagian kening kanan," katanya.

Othman berkata dalam satu kenyataan hari ini, siasatan awal polis mendapati ayah tiri mangsa mengaku ada memukul mangsa pada hari kejadian.

"Mayat kini berada di Hospital Pekan dan akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat pada hari ini untuk mengetahui punca kematian.

"Kedua-dua suspek kini ditahan bagi siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.