Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia pada Selasa selepas jatuh dari satu jambatan gantung di Kampung Porotawoi dekat Tongod, di sini..

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Angelliena Juilan, 6 tahun, dilaporkan lemas akibat terjatuh ke sungai.

Difahamkan ketika kejadian, murid sekolah itu bersama beberapa rakannya sedang pulang dari sekolah.

Tiba-tiba, mangsa terjatuh ke sungai, menerusi satu lubang di jambatan, lalu tenggelam.

Orang kampung yang mengetahui kejadian bergegas mencari mangsa sebelum mayatnya timbul sendiri 45 minit kemudian.

Ibu mangsa, Rosdianti Titi berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan ahli keluarganya.

Katanya, sebaik tiba, jasad anaknya sudah ditemui dan mereka bergegas membawanya ke klinik berdekatan.

"Tetapi, anak perempuan kami sudah tidak dapat diselamatkan.

"Kami tidak salahkan mana-mana pihak dan reda dengan kejadian ini," katanya ketika ditemui media pada Rabu di Tongod.