Seorang kanak-kanak perempuan berusia 20 bulan ditemui lemas selepas dilaporkan tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai di Sungai Liwagu, berhampiran Kampung Kimolohing, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa Adriella Joni @ Stanis Maing, setahun lapan bulan dipercayai berada di luar rumah sebelum dilaporkan terjatuh akibat tergelincir di curam batu berhampiran kediamannya lalu dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.

Difahamkan, ibu bapa mangsa tidak sedar kanak-kanak itu keluar rumah.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI berkata, menyedari kehilangan kanak-kanak itu, ibu bapa mangsa kemudiannya melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian.
Ini dipercayai batu tempat mangsa dikatakan terjatuh.
Menurutnya, selepas dua jam mencari dan menemui jalan buntu kedua-dua ibu bapa mangsa terpaksa menghubungi pihak polis.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau yang dikejarkan ke lokasi kejadian kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat bermula jam 12 tengah hari tadi di sungai itu.

"Kira-kira jam 1.35 petang, mayat mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter daripada rumah mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.
Anggota bomba dan penyelamat dipercayai menenangkan ahli keluarga kanak-kanak itu.
Tambah Mohd Farhan, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, hasil siasatan awal tiada sebarang unsur jenayah ditemukan dalam kejadian itu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.