Kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas di Tanjung Balau

Kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas di Tanjung Balau
Operasi mencari dan menyelamat mangsa akan diperluaskan mulai 7 pagi Khamis. - Gambar hiasan
KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Balau, Desaru dekat Kota Tinggi pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata mangsa dikenali sebagai Nurul Ain Sajali, 9, berasal dari Kota Masai, dekat Pasir Gudang.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.03 petang dan seramai 10 anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak terbabit.
"Difahamkan, kanak-kanak itu pergi ke pantai tersebut bersama ibu bapa dan anggota keluarga lain. Kehilangannya disedari keluarga pada kira-kira 3 petang, lalu melakukan pencarian sendiri sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Mohd Fadli berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dilakukan setakat ini (9.30 malam), namun, hanya ditumpukan di persisiran pantai.

Katanya keadaan laut di lokasi kejadian dilihat bergelora dan bendera merah turut berkibar sebagai amaran keadaan laut tidak selamat bagi pengunjung.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa akan diperluaskan mulai 7 pagi esok (Khamis), katanya.

--BERNAMA

Tag: lemas, tanjung balau, jbpm, bomba, SAR


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.