Tutup

Kanak-kanak perlu kenyang di sekolah - Hannah Yeoh

Kanak-kanak perlu kenyang di sekolah - Hannah Yeoh
-Kementerian sedang adakan peta-laluan kesejahteraan kanak-kanak dan saya harap kita dapat sampaikan bantuan secara specifik untuk bantu kanak-kanak supaya mereka dapat membesar dengan sihat,- jelas Hannah kepada Astro AWANI baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, mahu memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan kenyang atau telah mengisi perut sebelum pulang ke rumah.

Susulan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut mencadangkan agar kerajaan memperkasa program makanan di sekolah memandangkan manfaat program seperti ini disalurkan secara khusus kepada kanak-kanak, pada masa sama menjamin tumbesaran dan kesihatan mereka.
"KPWKM akan menilai semula bantuan yang diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah bagi memastikan tumbesaran kanak-kanak terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah tidak terjejas.

“KPWKM juga sedang mengadakan peta laluan kesejahteraan kanak-kanak dan saya harap kita dapat sampaikan bantuan secara spesifik untuk bantu kanak-kanak supaya mereka dapat membesar dengan sihat,” jelasnya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Tambahnya, berdasarkan peta laluan berkenaan, pihak kementerian sedang mengadakan koordinasi dengan semua kementerian yang terlibat untuk memastikan bantuan sampai terus kepada golongan ini.

“Kebanyakan kanak-kanak ini tidak ke tadika dan tidak ke sekolah. Ada juga yang berhenti sekolah. Kalau mereka sakit, mereka juga tidak dirawat di klinik.

Hannah juga ambil maklum bahawa ada beberapa wakil rakyat yang mengadakan inisiatif sendiri untuk menyediakan baucar kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah melalui pihak kantin sekolah.

“Program seperti ini ada nilainya supaya kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah tidak kelaparan dan tidak menjejaskan fokus belajar," katanya.

Hannah berkata demikian selepas ditanya mengenai cadanganya dalam membasmi masalah nutrisi kalangan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah terutamanya di bandar.

Hannah merujuk kepada laporan “Kanak-Kanak Pinggiran” yang diterbitkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

Laporan itu menunjukkan sebanyak 10 peratus kanak-kanak yang tinggal di PPR terbabit menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada bulan lalu memaklumkan lima kementerian bersama UNICEF bergabung bagi mewujudkan sebuah peta-laluan untuk menangani isu melibatkan kanak-kanak.

Inisiatif ini melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.




*Laporan ini adalah sebahagian dari kempen ‘Dian’ yang merupakan satu inisiatif Astro AWANI dalam mendalami masalah miskin bandar. Program Dian bersiaran setiap Jumaat, 8.15 malam.