Sebuah kapal China, Dong Hai Jiu 101 akan menggerakkan misi untuk mendapatkan kembali peralatan sonar (SLH-ProSAS-60 towfish) yang terjatuh ke dasar laut semasa misi pencarian sebelumnya MH370.

Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester yang menemui Konsul Jeneral China, Lei Kezhong, di atas kapal hari ini berkata kapal itu bersedia untuk memulakan misi dalam masa beberapa hari akan datang.

"Saya mengucapkan selamat berjaya kepada misi tersebut dan usaha untuk menjejaki MH370 di kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dimuatkan dalam laman web Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC).

Chester juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan China atas sumbangannya, dan kepada kapten dan anak kapal atas usaha mereka dalam pencarian MH370.

Bulan lepas, operasi mencari menghadapi tamparan selepas kenderaan sonar yang ditunda oleh kapal tersebut untuk mengimbas dasar laut terjunam di lautan semasa misi pencarian.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia mengetuai usaha pencarian MH370.