Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak berjaya menahan sebuah kapal dagang yang disyaki bersauh di luar batas Pelabuhan Lumut semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, maklumat diterima dari Jabatan Laut Lumut menyatakan kapal dagang bernama Sakizaya Ace jenis 'bulk carrier' telah bersauh di luar batas pelabuhan.

Menurutnya, bertindak dari maklumat tersebut Kapal Maritim Tugau telah diarahkan untuk melakukan pemeriksaan terhadap Sakizaya Ace.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut telah bersauh pada 8 Disember yang lalu untuk membuat pembersihan pada ruangan kargo.

“Kapal kemudiannya ditahan bersama 21 orang kru, termasuk nakhoda, (kesemuanya) warganegara China dan Myanmar berusia lingkungan 24 hingga 56 tahun, untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizan berkata, kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000.