Tutup

Kapal dipukul ombak, anak kapal berenang 12 jam sebelum berpaut tiang pelantar

Kapal dipukul ombak, anak kapal berenang 12 jam sebelum berpaut tiang pelantar
Leftenan Komander Maritim Muhammad Rezal Kamal Bashah menasihatkan kepada semua komuniti maritim yang melalui laut bergelora agar mengambil inisiatif menjaga keselamatan pada musim tengkujuh ini. - Gambar fail
KEMAMAN: Lima anak kapal warga Thailand berenang hampir 12 jam sebelum berjaya berpaut pada tiang pelantar minyak kira-kira 108 batu nautika dari Kuala Kemaman pada Isnin.

Kejadian berlaku apabila kapal kargo yang dinaiki mereka karam dibadai ombak besar ketika menuju ke Ranong, Phuket dari Songkla, Thailand untuk dibaikpulih.
Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim, Muhammad Rezal Kamal Bashah berkata, warga Thailand itu ditemui dalam keadaan lemah oleh kakitangan pelantar kira kira jam tujuh petang semalam.

Mereka dikenali sebagai Chumpon Kongphet, 31, Bunrod Talalak, 65, Adul Jampa, 38, Bordin Chantana, 43, dan Hong Vengjun, 32.
"Memandangkan keadaan sekarang musim tengkujuh, saya menasihatkan kepada semua komuniti maritim yang melalui laut bergelora agar mengambil inisiatif (menjaga) keselamatan.

"Iaitu, dengan memakai jaket keselamatan dan juga memastikan keadaan kapal amat baik dan selamat untuk belayar," kata Muhammad Rezal

Warga Thailand berkenaan dibawa dengan kapal keselamatan pelantar dan tiba di Pengkalan Bekalan Kemaman di sini jam 11.30 pagi ini.

Kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan akan dihantar pulang ke negara asal selepas proses dokumentasi.

Kejadian kapal karam itu adalah yang kedua dalam tempoh 24 jam selepas sebuah kapal dengan muatan kelapa dari Indonesia karam pada kedudukan 22.5 batu nautika dari Kuala Terengganu, Ahad lalu.