Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai supaya tidak membeli dan menggunakan produk tradisional Nan Bao dalam bentuk kapsul setelah ia dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata pendaftaran produk tersebut sudah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-331.

“PBKD mendapati produk berkenaan mengandungi sildenafil yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

“Sildenafil ialah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat yang mengandungi sildenafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

“Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya, serta kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, sildenafil dan analognya tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional kerana ia sangat berbahaya bagi orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers, terutamanya pesakit bermasalah jantung.

Oleh itu, penjual dan pengedar produk tersebut perlu menghentikan penjualan serta pengedarannya dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk terbabit tidak dibenarkan kerana melanggar Akta Jualan Dadah 1952 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” tambahnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk itu dinasihat segera menghentikan penggunaanya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Penyemakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman web https//:npra.moh.gov.my atau menghubungi NPRA melalui talian 03-78835400.