Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan terlibat secara tidak langsung dalam membantu membendung penularan wabak Koronavirus yang ketika ini telah tular di beberapa negara Asia.

Menurut Pengarahnya, Datuk Paddy Abd Halim, pihaknya ada menerima permohonan daripada Jabatan Vaterinar untuk membantu saringan kemasukan pelancong daripada negara luar.

“Perkara yang melibatkan virus di Wuhan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai sistem saringan cuma Jabatan Vaterinar minta bantuan Kastam untuk melihat barangan makanan terutamanya yang mungkin mempunyai virus tersebut.

“Keduanya, melihat juga kepada kemasukan pekerja, sama ada mereka telah disaring atau belum, namun kastam tidak terlibat secara langsung cuma kita bantu untuk menahan saja yang lain kita serahkan kepada agensi bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-38 di Kompleks Kastam Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada Khamis.

Pada 16 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini tiada kes membabitkan koronavirus baharu dilaporkan di negara ini, namun kerajaan mengambil langkah siap sedia bagi menghadapi potensi penularan penyakit itu.

Pasukan bertindak Malaysia yang ditempatkan di semua pintu masuk antarabangsa dan kemudahan kesihatan di seluruh negara terutama Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan berlakunya wabak koronavirus di Wuhan, China.

“Alat imbasan haba dan pusat kuarantin kesihatan di terminal KLIA kini diletakkan pada pemantauan tahap yang tertinggi," katanya lagi.

Terdahulu laporan media tempatan China, mengesahkan angka kematian akibat wabak coronavirus sehingga Khamis adalah seramai 17 orang dan melibatkan sebanyak 547 kes keseluruhan.

Kes juga dilaporkan terdapat di Korea Selatan, Thailand, Jepun serta beberapa negara lain dengan dilaporkan sebanyak 555 seluruh dunia.