Kastam gagalkan aktiviti penyeludupan rokok haram

Kastam gagalkan aktiviti penyeludupan rokok haram
Pemeriksaan pasukan operasi kastam menemui 322 kotak rokok dengan 2.95 juta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bersetem cukai. Foto JKDM Kuching
KOTA SAMARAHAN: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok haram bernilai RM1.97 juta di sebuah rumah di kawasan perumahan Merdang Gayam, di sini.

Kejayaan tersebut susulan tindakan pantas Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching yang melakukan serbuan di lokasi berkenaan.

Menurut Pengarah Kastam Negeri, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah rumah, pasukan operasi menjumpai 322 master case (kotak rokok besar) dengan 2.95 juta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bersetem cukai.

"Pasukan operasi turut membuat siasatan lanjut ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda 94WD) di dalam parkir rumah tersebut dan menjumpai sejumlah rokok yang disyaki tidak berkastam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua barangan beserta kenderaan 4WD tersebut disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Kuching untuk siasatan lanjut.



Foto JKDM Kuching

Sharifah Halimah berkata, modus operandi yang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa adalah dengan menjadikan rumah sebagai stor tempat penyimpanan barangan tersebut.

Kenderaan 4WD itu pula dipercayai digunakan untuk mengedarkan rokok ke pasaran tempatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.