Kata-kata yang betul dan tepat pada masanya, mampu menyelamatkan nyawa.

Begitulah tindakan pantas anggota bomba yang berjaya menggagalkan percubaan membunuh diri seorang lelaki yang ditemui berada di atas bumbung pusat membeli-belah, di sini pada Sabtu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 5 petang.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh kemudian bergegas ke pusat beli-belah itu.

"Ia melibatkan seorang mangsa dalam lingkungan umur 23 tahun cuba untuk membunuh diri di atas bumbung pusat beli-belah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Difahamkan, lelaki berkenaan mengubah niatnya dapat diselamatkan selepas berjaya dipujuk dengan kata-kata semangat dan motivasi oleh anggota penyelamat yang terhampir dengannya di tebing unjuran bangunan itu.

Mangsa kemudiannya dibawa turun dengan menggunakan peralatan keselamatan sebelum pihak bomba menyerahkannya kepada pihak polis.