KATS pandang serius pembunuhan kejam gajah pygmy di Kalabakan

KATS pandang serius pembunuhan kejam gajah pygmy di Kalabakan
Gajah pygmy adalah spesies yang dilindungi di bawah Jadual 1 "Spesies Dilindungi Sepenuhnya", Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) memandang serius insiden pembunuhan kejam seekor gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau, Khamis lepas.

Sehubungan itu, KATS dalam satu kenyataan berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam menjalankan siasatan dan menjejak penjenayah hidupan liar tersebut kerana kes ini melibatkan senjata api dan merupakan jenayah serius.

"Kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan pihak PDRM akan diperkukuhkan lagi pada masa akan datang dengan mencontohi model Operasi Bersepadu Khazanah antara PDRM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta lain-lain agensi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah ini daripada berulang pada masa akan datang," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, gajah pygmy adalah spesies yang dilindungi di bawah Jadual 1 "Spesies Dilindungi Sepenuhnya", Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan mereka yang terlibat boleh didakwa.

KATS berkata Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh berhubung dan menyalurkan maklumat terus kepada JHL Sabah bagi membantu siasatan.

BACA: Gajah pygmy dibunuh kejam, 70 peluru ditemui dalam badan

Pada Khamis lepas, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan, dekat Tawau, dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.

Gajah betina dianggarkan berusia antara 11 hingga 12 tahun dengan ketinggian 1.8 meter itu ditemui dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai dan pemeriksaan awal pasukan JHL mengesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan, akibat tembakan senjata api.

-- BERNAMA