Kawasan Highland Towers akan dijadikan taman rekreasi dalam masa terdekat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ia sekali gus akan mengubah wajah kawasan tragedi hitam satu daripada tiga blok kondominium itu runtuh yang meragut 48 nyawa pada 11 Disember 1993.

"Highlands Tower, kita sudah jumpa jawatankuasa sebanyak lima kali dan sedang menunggu proses perundangan.

"Sekarang pada tahap perancangan. Saya tahu kawasan itu bukan untuk bangunan, bukan untuk rumah. Ia akan dibuat taman.

"Ia strategik untuk orang Ampang. Ia dalam perancangan dan saya akan luluskan," katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama pelancaran Program #girl2leader di sini, hari ini.

Sebelum ini, Zuraida dilaporkan berkata, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan dalam masa terdekat untuk melaksanakan kajian kemungkinan bagi pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Highland Towers.

Jelasnya, keadaan di kawasan runtuhan Highland Towers berada dalam keadaan mencolok mata sejak sekian lama terutama kepada penduduk di sekitarnya dan sehingga kini ia masih belum diselesaikan.

Sebelum ini juga, kementeriannya dilaporkan merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan B40 di tapak kondominium tersebut.