Penerbit The Edge Ho Kay Tat dan Ketua Eksekutif portal berita The Malaysian Insider (TMI) Jahabar Sadiq dijangka akan dibebaskan selepas ditahan semalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sejak Selasa.

Peguam yang mewakili mereka, Syahredzan Johan menerusi akaun Twitternya berkata beliau difahamkan pihak polis tidak akan memohon perintah reman terhadap Jahabar dan Kay Tat.

"Kenyataan mereka akan diambil dengan kenyataan perunding IT. Selepas itu (mereka) akan dibebaskan," kata Syahredzan.

Jahabar dan Kay Tat ditahan polis di bawah Akta Hasutan berhubung laporan tentang undang-undang jenayah Islam atau hudud.

Pada Selasa, tiga pengarang portal berita TMI telah dibebaskan dari Balai Polis Dang Wangi selepas pihak polis selesai mengambil keterangan.

Pengarang Urusan, Lionel Morais; Pengarang Rencana dan Analisis, Zulkifli Sulong; dan Pengarang Berita, Amin Iskandar dibebaskan sekitar jam 8.45 semalam.

Permohonan reman terhadap mereka telah ditolak Majistret Mohd Nazri Omran pada Selasa.


BERITA LANJUT MENYUSUL