Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mengekalkan kontrak syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) untuk membekalkan cip pasport walaupun prestasi syarikat tersebut kurang memuaskan.

Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan Dr Uzailee Abdul Latif, 58, berkata KDN yang ketika itu Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi surat kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada 20 Ogos 2014.

"Dalam surat itu, KDN menyatakan bahawa prestasi syarikat DTSB kurang memuaskan kerana sering kali berlaku kelewatan dalam membekalkan cip pasport dan ia menyebabkan prestasi perkhidmatan Jabatan Imigresen (JIM) terjejas apabila bekalan terputus.

"Dalam surat yang sama, KDN telah menyatakan bahawa kementerian itu masih ingin mengekalkan kontrak sedia ada dengan syarikat Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN) dan cip yang dibekalkan oleh syarikat IRIS berdasarkan prestasi yang cemerlang.

"Kesimpulannya daripada surat itu, KDN menyatakan bahawa Kementerian tidak bercadang untuk memperakukan syarikat ini (DTSB) bagi perolehan baru," katanya dan menambah kontrak pembekalan cip pasport itu diperoleh DTSB sejak 2012.

Membacakan penyataan saksinya, Uzailee berkata pada 27 Nov 2014, beliau menghadiri satu perbincangan di antara DTSB, MOF, KDN serta JIM dan dalam perbincangan itu DTSB telah membuat perbandingan kos yang sekiranya mereka dianugerahkan projek tersebut, kerajaan boleh menjimatkan kos sedia ada.

"Hasil daripada perbincangan tersebut, MOF melalui KDN meminta DTSB memberikan maklumat tambahan untuk menimbang permohonan DTSB bagi memohon projek pembekalan cip pasport," katanya pada hari ke-14 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Saksi pendakwaan ke-30 itu berkata bermula Jun 2016, pihak JIM mengalami masalah kekurangan bekalan Pasport Malaysia Antarabangsa dan satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan jalan penyelesaian tentang pembekalan pasport itu oleh DTSB dan PKN pada 15 Ogos 2016.

"Susulan mesyuarat tersebut, MOF telah mengeluarkan satu surat amaran kepada KDN berhubung masalah itu.

"Melalui surat bertarikh 30 Ogos 2016, MOF meluluskan pelantikan DTSB untuk pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata ‘polycarbonate’ Pasport Malaysia kepada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus," katanya.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, mengenai siapakah menteri dalam MOF yang meluluskan permohonan (projek membekalkan cip pasport oleh DTSB) pada ketika itu, saksi menjawab: "Datuk Seri Najib Tun Razak".

Sementara itu, Uzailee berkata perundingan kuasa dalam perolehan projek kepada DTSB adalah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan yang ketika itu digalas oleh Najib.

"KDN hanya boleh bagi perakuan kepada MOF sama ada setuju atau sebaliknya. Jadi dalam kes ini KDN setuju dan menyokong permohonan syarikat tersebut," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.

Ahmad Zahid, 67, bekas timbalan perdana menteri, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA