Kerajaan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan kad sementara untuk pekerja asing tanpa izin yang bermajikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kad sementara yang perlu diperbaharui setiap tahun itu akan memastikan majikan membayar levi, insurans dan manfaat sosial kepada pekerja asing tanpa izin.

"Jabatan Peguam Negara memberikan kebenaran pengeluaran kad ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Jika mereka tidak ada dokumen ertinya bekerja secara haram, levi tidak akan di bayar oleh majikan. Begitu juga dari segi liputan insurans dan mereka (pekerja asing tanpa izin) tidak dapat manfaat sosial jika berlaku kemalangan dan sebagainya.

"Sebab itu sistem yang demikian bertujuan untuk memenuhi kehendak daripada majikan yang telah menggaji pekerja asing yang tidak berdokumen, kedua, daya pengeluaran dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan dapat ditambah bagi menambahkan nilai eksport kepada barangan keluaran negara kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di sini hari ini.

Selain itu, jelas beliau, tindakan itu buat bagi memenuhi kekurangan pekerja asing pada masa kini susulan pembekuan pengambilan pekerja asing yang diumumkan 19 Februari tahun lalu.

Sehingga 31 Disember 2016, bilangan pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif adalah seramai 1.87 juta pekerja.

Bilangan itu menunjukkan penurunan sebanyak 12.6 peratus berbanding 2.13 juta pekerja bagi tempoh sama pada 2015.

Selain itu Ahmad Zahid, berkata kerajaan bersetuju memperluaskan kelonggaran pengambilan pekerja asing bagi sektor perlombongan serta beberapa subsektor di bawah sektor pertanian, perkhidmatan dan pelancongan.

Katanya, subsektor itu merangkumi penternakan unggas, pengendalian kargo di pelabuhan serta perkhidmatan spa dan urut kaki, hospitaliti, pulau peranginan dan kedi golf.

"Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju agar kelonggaran pengambilan diberikan kepada sektor kritikal iaitu sektor perkilangan, pembinaan perladangan dan subsektor pertanian seperti penanaman sayur, buah-buahan dan bunga.

"Kelonggaran ini diberikan selepas menimbang keperluan pihak industri agar ia tidak merencatkan pertumbuhan ekonomi terutama bidang yang berasaskan eksport," katanya.