Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu laporan penuh daripada pasukan petugas khas berhubung siasatan kes kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo.

Menurut Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pasukan yang ditubuhkan pada Jun lepas itu sepatutnya telah menyiapkan laporan penuh dalam tempoh enam bulan seperti ditetapkan ketika penubuhannya.

"Sepatutnya mereka sudah selesai dan laporan itu diserahkan kepada saya untuk tindakan lanjut. Sehingga itu, saya tidak boleh umumkan apa hasil siasatan," katanya pada sidang media selepas melepaskan konvoi Misi Bantuan Pasca Bencana Pantai Timur di sini, pada Rabu.

Pada 26 Jun lepas, Muhyiddin mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas melibatkan enam anggota yang bertanggungjawab meneliti kes kehilangan paksa dua individu terbabit, diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

Pasukan itu memfokuskan dakwaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa kehilangan Amri dan Raymond masing-masing pada 24 Nov, 2016 dan 13 Feb, 2017 adalah disebabkan penglibatan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kementerian memandang serius dakwaan kemungkinan warga China yang terlepas daripada serbuan pihak berkuasa di Cyberjaya sebelum ini kerana menjalankan aktiviti perjudian dalam talian telah memulakan jenayah serupa di negeri lain.

Beliau berkata keadaan itu memberi gambaran seolah-olah kecenderungan warga China datang dan menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk melakukan jenayah siber, penipuan dalam talian dan judi haram.

"Kita pandang serius perkara ini dan jika ada bukti mereka sudah berpindah-randah untuk melakukan aktiviti jenayah, tindakan tegas harus diambil segera," katanya.

Mengikut laporan media, sekumpulan 40 warga China ditahan pihak Imigresen Perak di sebuah banglo elit di Taman Gopeng, Ipoh semalam di mana dua daripadanya dipercayai melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen di Cyberjaya pada 20 Nov lepas.

Dalam serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya itu, imigresen menahan 680 warga China kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian, manakala lebih 100 orang berjaya melarikan diri.

Mengenai misi bantuan itu, Muhyiddin berkata, 38 sukarelawan daripada Angkatan Baharu diketuai Muzammil Ismail bersama 30 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terlibat memberi bantuan pasca banjir kepada penduduk di Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan serta Best, Terengganu.

-- BERNAMA