Hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi hanya mampu dicapai dalam tempoh tujuh tahun lagi.

Ketua Pelaksana Ekonomi, Kumpulan Bank Dunia, Dr Ndiame Diop berkata kadar lima peratus pertubuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Malaysia kini adalah lemah dan disifatkannya sebagai 'merangkak'.

"Malaysia kini dalam fasa peralihan ke negara berpendapatan tinggi tapi ia sedang 'merangkak' atau 'berjoging' dan bukan 'berlari'.

"Terdapat tahap pendapatan yang menjadi penentu kepada sebuah negara berpendapatan tinggi bergantung kepada kadar pertumbuhan setiap tahun. Masa yang akan menentukan bilakah ia akan dapat dicapai.

"Dalam perkiraan kami, Malaysia akan mencapai tahap itu mungkin dalam empat, lima, enam atau tujuh tahun lagi, bergantung kepada pertumbuhan tersebut.

"Kami amat berharap supaya ada ramalan dibuat berkenaan pertumbuhan KDNK untuk tahun depan. Tapi ia sangat sukar terutama dalam suasana ekonomi global pada masa kini," katanya pada Siri Dialog Ekonomi Rakyat anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan ThinkCity di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, impak kepada rakyat daripada pertumbuhan tersebut adalah lebih penting daripada angka yang ingin dicapai.

"Fokus hanya kepada pertumbuhan KDNK adalah salah kerana apa yang penting bukan untuk Malaysia mencapai tahap itu kerana ia hanya nombor. Apa yang penting ialah untuk rakyat mendapatkan peluang pekerjaan.

"Yang penting ialah kualiti serta pengagihan pertumbuhan kepada rakyat. Pada satu masa, Malaysia masih berada di tahap yang baik dengan pertumbuhan yang lemah berbanding Singapura.

"Kepuasan rakyat adalah lebih tinggi disebabkan kualiti pertumbuhan itu dan bukan kadar kerana ia hanya nombor," ujarnya lagi.

Jelasnya, cabaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini menjadi antara faktor pertumbuhan KDNK Malaysia turut melemah.

Pada Ogos, Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun penuh Malaysia bagi 2018 kepada 5.0 peratus daripada 5.5 hingga 6.0 peratus yang dijangkakan sebelum ini.

Ia susulan gangguan pengeluaran minyak dan gas yang berlanjutan serta kekangan pengeluaran sektor pertanian.