Ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 4.9 peratus pada suku kedua 2015.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam sidang akhbar di sini hari ini turut berkata kadar inflasi bagaimanapun meningkat kepada 2.2 peratus pada suku kedua susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), April lalu.

"Kenaikan harga adalah menyeluruh dengan kesemua 12 kategori dalam kumpulan IHP mencatat inflasi yang lebih tinggi pada suku kedua berbanding suku pertama," katanya.

Bank Negara juga menjangkakan permintaan domestik akan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Tambahnya ekonomi global dijangka akan turut menikmati kesan positif akibat harga minyak mentah yang rendah.

"Ekonomi dunia tumbuh pada tahap sederhana pada suku kedua. Permintaan domestik terus menyokong pertumbuhan dalam persekitaran eksport yang lemah," katanya.

Pada suku kedua, penggunaan swasta meningkat lebih sederhana pada kadar 6.4 peratus berbanding 8.8 peratus pada suku pertama apabila isi rumah membuat pelarasan perbelanjaan berikutan pelaksanaan GST.

Namun Bank Negara menyatakan kesan harga minyak rendah adalah pelbagai, bergantung kepada ekonomi.

Zeti berkata pelaburan swasta berkembang lebih sederhana, sebanyak 3.9 peratus, disebabkan penurunan dalam perbelanjaan untuk mesin dan peralatan, terutama dalam segmen pengangkutan, selain pelaburan yang lebih perlahan dalam perkhidmatan kediaman.

Pertumbuhan dalam pelaburan swasta, bagaimanapunnya negatif pada suku kedua.

Sementara itu, penggunaan awam mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 6.8 peratus berikutan perbelanjaan lebih besar dalam bekalan dan perkhidmatan dalam persekitaran pertumbuhan yang berterusan dalam emolumen.

Dari segi penawaran, sektor ekonomi utama mencatat pertumbuhan yang lebih sederhana pada suku kedua, kata Zeti.

Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan yang lebih rendah disebabkan oleh peningkatan lebih perlahan dalam kebanyakan subsektor manakala pertumbuhan sederhana sektor perkilangan disebabkan oleh prestasi industri berorientasikan eksport yang lebih sederhana, katanya.

Sektor pertanian kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positf berikutan pengeluaran minyak sawit yang lebah tinggi.

Sementara itu Zeti pada sidang media yang sama turut menyatakan akan kekal memegang jawatan Gabenor Bank Negara sehingga penghujung penggal perkhidmatan beliau iaitu pada April tahun hadapan.