Kerakusan manusia dalam 'merampas' habitat gajah Pygmy Borneo merupakan salah satu ancaman terbesar kepada kepupusan haiwan terancam ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, sebahagian kawasan habitat gajah yang dahulunya dilitupi hutan telah dijadikan sebagai ladang penanaman kelapa sawit.

Jelasnya, perubahan drastik ini menyebabkan populasi 'gajah Sabah' kehilangan tempat tinggal sekali gus menyebabkan gajah-gajah tersebut masuk dan membuat 'gangguan' di kawasan ladang.

"Daerah Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Lahad Datu sehinggalah di Tawau merupakan kawasan subur dan disitulah populasi gajah ini tinggal.

"Tetapi, pada masa ini, sebahagian besar kawasan ini telah ditanami dengan kelapa sawit jadi serta merampas habitat haiwan ini.

"Kawasan hutan yang tinggal di Sabah walaupun tidak besar, tidak semuanya sesuai kerana kebanyakannya berbukit bukau dan hanya sebahagian kawasan sahaja yang boleh dijadikan habitat gajah," katanya ketika ditemui AWANI di pejabatnya, hari ini.

Dalam pada itu, menurut Augustine, punca lain kepada peningkatan kes gajah mati di Sabah adalah disebabkan oleh konflik antara peladang yang mengambil jalan singkat dengan memasang perangkap untuk membunuh haiwan berkenaan.

"Kerana tidak sabar menahan kerugian pekebun atau peladang mengambil jalan sendiri untuk melakukan pembunuhan gajah.

"Berlaku kes di mana pekerja-pekerja ladang mungkin tidak sedar perbuatan mereka ini membahayakan gajah dengan memasang jerat di sempadan hutan," katanya.

Tambahnya, JHL Sabah komited dalam mengawal peningkatan kes insiden gajah mati di Sabah biarpun berhadapan dengan cabaran kekurangan kakitangan.

"Sempadan hutan dengan ladang-ladang tersebut terlalu panjang dan gajah boleh keluar masuk di mana-mana sahaja.

"Kita mempunyai jumlah kakitangan yang terhad untuk membantu mengawal dan itulah cabaran terbesar kami untuk mencuba peladang-peladang ini mengurangkan kerosakan yang dilakukan oleh gajah," katanya.

Untuk rekod, dua puluh kes kematian gajah Pgymy Borneo direkodkan sehingga awal bulan ini termasuk satu lagi kes terbaharu kematian seekor anak gajah jantan berusia 2 tahun di Hutan Simpan Taliwas, Lahad Datu akibat terkena jerat pemburu.