Penceramah bebas Datuk Kazim Elias atau Ustaz Kazim (DUKE) ketika ini berada dalam keadaan kurang sihat dan dibawa ke unit kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Pembantu peribadinya berkata, Ustaz Kazim dibawa ke HRPB pada petang Ahad dan sudah dibenarkan pulang ke rumah.

"Selepas balik ke rumah ustaz mengadu masih lagi berasa sakit pada bahagian belakang dan perutnya juga mengembung

"Doktor yang membuat pemeriksaan sudah memberikan ubat dan memaklumkan bahawa kesihatan Ustaz Kazim dalam keadaan baik.

"Kami membawanya juga ke hospital semalam kerana bimbang ada batu karang, tetapi doktor kata tiada dan semuanya elok, tetapi kami hairan ustaz tetap mengadu berasa terlalu sakit pada bahagian belakang," katanya seperti dilapor sebuah akhbar.

Ustaz Kazim dalam laman Facebooknya baru-baru ini memuatnaik status tahap kesihatannya yang merosot sejak kebelakangan ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat yang memberikannya nasihat dan petua.

Jelas pembantu peribadinya, pihaknya akan memaklumkan kepada semua daripada semasa ke semasa berkenaan tahap kesihatan Ustaz Kazim.