Tutup

Keazaman politik diperlukan dalam menangani cabaran global

Keazaman politik diperlukan dalam menangani cabaran global
Forum Ekonomi Sedunia kali ini dianjurkan di sebalik senario global yang semakin tidak menentu dan mewajarkan solusi dan tindakan yang lebih pragmatik.
SABAN tahun, pemimpin kerajaan, masyarakat sivil, pemikir, ahli akademik dan tokoh-tokoh korporat akan berkampung di Davos dalam satu platform bagi bertukar-tukar pandangan tentang cabaran global masa kini.

Persoalan moral dan keazaman politik perlu ditangani oleh pihak berkepentingan ini dalam usaha membina peradaban dunia yang lebih lestari dan bersatu padu.
Inilah yang bakal menjadi fokus Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada tahun ini yang bertemakan “Stakeholders for a cohesive and sustainable world’.

Seperti mana lazimnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, WEF 2020 masih membicarakan isu-isu yang sama seperti kemiskinan global, cabaran pendidikan dan masa depan pekerja, peranan teknologi, cabaran geopolitik dan perubahan iklim, walaupun dibawah tema yang berbeza.
WEF kali ini dianjurkan di sebalik senario global yang semakin tidak menentu dan mewajarkan solusi dan tindakan yang lebih pragmatik.

Bagi mengukuhkan kerjasama serantau dalam kalangan pihak berkepentingan, peranan dan tanggungjawab perlu digarap dengan lebih jelas.

Namun kebelakangan ini, banyak masa telah disia-siakan dengan retorik yang tiada kesudahan.

Pelbagai cadangan dan idea bernas telah diutarakan oleh pemikir dan ahli akademik, diforumkan di pentas dunia bersama-sama dengan pihak berkepentingan lain tetapi terlalu sedikit yang ingin mengambil pertanggungjawaban.

Dimanakah kewibawaan moral mereka? Dalam hal ini, keazaman politik adalah amat didambakan untuk bertindak.

Dunia memerlukan kepimpinan global yang boleh berperanan memimpin agenda dan meletakkan keutamaan yang boleh disepakati oleh semua pihak berkepentingan.

Kepimpinan Amerika Syarikat (AS) masih ditagih dalam mendepani cabaran global.

Namun dasar ‘America First’ dibawah Donald Trump ternyata meletakkan hala tuju negara Uncle Sam itu dalam trek yang berbeza.

Ditambah pula dengan isu perang dagang AS dan China dan konflik di timur tengah, kewibawaan moral mereka semakin diragui.

Populariti pemimpin dan kerajaan yang menggerakkan politik populis semakin terhakis ekoran kerajaan yang dipilih secara demokratik dilihat tidak responsif kepada isu-isu rakyat.

Tahun 2019 memperlihatkan gelombang protes jalanan di Hong Kong, Perancis, Amerika Latin dan beberapa negara Arab.

Isu-isu seperti rasuah, ketidakadilan ekonomi dan ‘perut rakyat’ mencetus kemarahan rakyat.

Malangnya pemimpin politik terus terpalit dengan cabaran domestik dan desakan rakyat terhadap perubahan dan reformasi.

Pihak korporat turut berperanan dalam merungkaikan isu global melalui sokongan kewangan yang berterusan.

Ironinya, korporat juga terlibat di dalam rangkaian korup dan kuasa.

Dalam isu-isu berkaitan regulasi kerajaan terhadap hak pekerja atau alam sekitar misalnya, terdapat kepentingan tertentu yang dipelihara rapat.

Undang-undang harus diperkemas dalam memastikan akauntabiliti dan ketelusan sektor korporat.

Kita melihat peranan yang lebih besar dimainkan oleh masyarakat sivil dalam mendepani cabaran global.

Teknologi memudahkan mobiliti dan kapasiti mereka untuk bersatu padu dalam desakan dan tindakan.

Masyarakat sivil juga dilihat mampu mencetuskan perubahan di dalam masyarakat lebih daripada sekadar kumpulan pendesak.

Oleh kerana kepentingan yang pelbagai, mereka gagal menyampaikan satu suara yang padu kepada dunia.

Pihak berkepentingan ini, sama ada pihak kerajaan, korporat dan masyarakat sivil perlu berkompromi dalam mencari titik tengah untuk membentuk jaringan yang bersatu padu bagi menyelesaikan masalah global.

Sekiranya tiada keazaman politik dalam usaha ini, dunia jelaslah telah kehilangan kewibawaan moral dan pertanggungjawaban terhadap generasi masa depan.                 


* Penulis adalah Pengasas dan CEO Planetmahir.com, platfom perkongsian kemahiran berbahasa Melayu, perunding latihan & penasihat koperat dalam ‘Knowledge Sharing’ dan ‘Mindset Generasi Millennial’. Beliau boleh dihubungi melalui ramzi@planetmahir.com.

** Artikel berikut adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


 



Tag: Kolumnis AWANI, Forum Ekonomi Sedunia, keazaman politik, cabaran global



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.